Ikhlas Dalam Sesuatu
Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata mata kerana ALLAH s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.
Firman ALLAH s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar" “Surah Al-Bayyinah – Ayat 5
Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah ALLAH s.w.t. dan Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab sebab yang lain dari sifat sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain lain lagi.
Dalam meninggalkan larangan ALLAH s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.
( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin ) dan AL Quran..
