gravatar

Semua Negeri Disasar Guna E-Halal Tahun Depan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyasarkan kesemua negeri akan mengguna pakai sistem e-halal pada tahun depan supaya ia dapat diseragamkan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Jakim; YBhg. Tuan Haji Othman bin Mustapha sempena Majlis Penyerahan Pelaksanaan Sistem e-halal kepada negeri-negeri pada 10 Ogos 2011 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Beliau berkata pada tahun ini, hanya tujuh negeri akan melaksanakan sistem itu bermula Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah, manakala Pahang, Sarawak dan Johor akan mengguna pakai pada hujung tahun ini.

Katanya bagi memastikan sistem itu berjalan lancar, setiap pegawai yang menguruskan pensijilan halal Malaysia perlu diberi latihan mengendalikan aplikasi itu.

“Penyeragaman pensijilan yang telah dipersetujui adalah berkonsepkan Pensijilan Halal bersama antara Jakim dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dengan menggunakan standard, prosedur, sijil dan logo yang sama dan seragam” katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; YB Senator Dato' Dr. Mashitah Ibrahim turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Ahli-ahli Lembaga Penasihat Pensijilan Halal Malaysia dan agensi-agensi berkaitan yang terlibat dalam memperkasakan pensijilanan Halal Malaysia.

Sistem aplikasi e-Halal yang dilaksanakan Jakim sejak 2007, antara lain menyediakan kemudahan permohonan atas talian pensijilan halal untuk industri, menyediakan pangkalan data mengenai syarikat dan produk halal dan ia boleh digunakan sesiapa sahaja untuk mendapatkan pengesahan status sijil halal bagi sesuatu produk, barang gunaan dan premis termasuk restoran serta hotel.


Dengan penyeragaman sistem itu, setiap JAIN dan MAIN akan merupakan pengurus yang berautoriti dalam pensijilan halal negeri masing-masing manakala Jakim berperanan sebagai pembekal sistem, standard, pensijilan dan pemantauan.

Beliau berharap pelaksanaan sistem itu akan dapat menangani kekeliruan yang timbul akibat penggunaan logo halal yang berbeza ketika ini.

"Perluasan sistem ini adalah satu persediaan untuk menghadapi peningkatan permohonan yang akan berlaku berikutan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.